10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan - pengampunan, 10 hari terakhir - kemerdekaan api neraka.
Banyak perbezaan keadaan berpuasa di Brunei kira-kira 40 tahun yang lalu. Antah mungkin kerana sistem pendidikan agama pada masa itu agak longgar terdapat umat Islam yang tidak berpuasa dan ada yang berkunjung ke negara jiran misalannya Singapura dan menjadikan musafir sebagai sebab untuk tidak berpuasa. Tapi tujuan ristaan ini bukanlah mengata si pulan bin sipulan tidak berpuasa pada masa itu, malah menyentuh kisah harian pada zaman tersebut.
Bagi terikh permulaan puasa. ianya ditetapkan dengan melihat anak bulan tetapi bagi sebilangan orang cara paling mudah ialah pergi ke pasar sayur berdekatan dengan Kampong Sultan Lama, kalau nyonya-nyonya yang berjualan sayuran dan bahan masakan seperti bawang dan sebagainya mula mengantung kantungan plastik berisi cendol (hijau tanpa santan atau susu) dan cincau (bentuknya seperti batu bata tetapi kecil), maka sudah pasti puasa akan menjelang, Orang saling bertanya pada si nyonya samada anak bulan nampak atau tidak, dan mereka akan melihat kalendar cina. Hairan selalunya kelendar mereka tersebut betul.
Satu tradisi yang masih dikekalkan pada masa ini adalah tembakan bedil (sebenar mariam kecil) oleh pasukan askar di luar karangan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Saya masih ingat kawan sekolah saya menelipon memberitahu anak bulan nampak kerana bdil telah kedengaran (rumah beliau hampir dengan Masjid). Tetapi sepertimana jua pada masa ini, berita mengenai bermulanya berpuasa tidaklah segembira mendengar esok ialah hari raya. Mengenai sembahyang terawih pula, boleh dikatakan lebih ramai orang bersembahyang terawih di masjid2 pada masa ini dari dahulu. Mungkin kerana pengetahuan yang lebih mengenai fadilat terawih. Nota: Dulu kalau sembahyang raya masya Allah ramai hingga keluar masjid, tapi pada sembahyang jumaat bilangan jauh lebih kecil (walaupun sekiranya sembahyang hari raya dan sembahyang Jumaat adalah pada hari yang sama).
Satu amalan yang masih dikekalkan ialah berziarah ke kubur saudara mara semasa bulan ramadan. Semasa kecil dulu, saya adik beradik ikut rombongan kampung menaiki tongkang besar untok pergi dari 'tempat' (gelaran bagi tanah perkuburun) ke 'tempat' yang lain. Lazimnya bilangan rombongan melebihi 50 orang tetapi yang membaca yassin hanyalah seorang dua. Yang lain cuma membersihkan kawasan perkuburan dan turut membaca wirid menurut si Imam tadi. Bahagian yang paling seronok ialah bila menerima sedekah wang syiling 10 sen. Tetapi disebabkan bilangan 'pemberi' adalah banyak, kadang2 pada satu tempat kami berlurih (Bahasa Brunei bagi memperolehi) sehingga $1 atau lebih. Bagi sehari kami kadang2 dapat sehingga $4 ringgit. Bayangkan 1 botol minuman 1 litre cuma 20 sen jadi kira kaya sakan lah masa itu.
Saya masih ingat masa kecil2 berpuasa tetapi niat sebenarnya ialah untok mendapat hadiah semasa hari raya menurut jumlah hari berpuasa. Mungkin itu cara ayahanda dan bonda untok menjinakan kami dengan berpuasa. Dulu2 tidaklah ada aircon cuma kipas angin, kalau hari panas terpaksalah berulang kali mandi dengan air sejuk. saya tidaklah berapa ingat samada pernah 'terminum' semasa mandi tersebut. Rasanya tidak tetapi mungkin kerana ingatan sudah ditelan umur. Paling seronok ialah jika dibawa bonda menonton wayang semasa siang hari. Hilang juga rasa lapar. Masa itu, belum lagi ada TV jadinya tengok wayang gambar adalah paling ditunggu-tunggu.
Juadah berbuka puasa pula kira sama seperti masa sekarang. Hanya lagi dulu kalau berbuka ada masakan ayam, itu sudah kira paling spesial. Tetapi sekarang masakan ayam sudah menjadi standard menu.
Sekian saja dahulu ristaan semasa berpuasa. Semoga ianya dapat mengambarkan kepada generasi sekarang cara berpuasa semasa dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan