Melihat ramai jemaah meninggalKAN negara untuk menunaikan fardhu haji terkenang jua masa saya masih kecil. Jikalau musim berlepas untuk meninggalkan tanah air sudah dekat, ramai majlis-majlis doa selamat atau 'makan orang haji' diadakan. Yang seronoknya, adalah diunjuk oleh yang akan menunaikan fardhu haji sedikit wang kepada para tetemu. Kalau tidak silap, wang berkenaan diniatkan sebagai zakat untok membersihkan wang bekalan ke tanah suci. Lucu juga masa itu, mungkin sebab ilmu ugama belum cukup. Masa tidak semua yang hadir diunjuki wang tidak kira yang kaya, berada atau miskin. Walhal ikut hukum, zakat hanya berhak diterima bagi sebilangan hamba Allah sahaja.
Semakin hampir masa bertolak, semakin ramailah sanak saudara dan sahabat handai berkunjung dan lazimnya adalah yang memberikan 'sedekah' kepada bakal haji berkenaan. Pada hari bertolak tiba ramailah saudara mara dan jiran2 berkunjung. Ada jua jemaah haji yang menyediakan kepingan kertas yang bertulis "Allah" dan "Muhammad" dalam tulisan jawi. Kertas itu nanti digunting dua, yang "Allah" dibawa oleh jemaah berkenaan dan yang "Muhammad" diberikan kepada yang hadir untuk disimpan. Tak tahulah apa rasional dibalik tradisi berkenaan tapi sekarang praktis ini tidak lagi diadakan.
Saya masih ingat semasa saya kecil, para jemaah Brunei akan bertolak ke Labuan dengan kapal laut samada Kapal Sultan atau Kapal Bolkiah. Ramailah perahu-perahu kecil mengiringi kapal yang membawa jemaah haji berkenaan sehinggalah sampai ke kuala Sungai Brunei. Tapi kini zaman sudah berubah, jemaah haji berangkat menggunakan kapal terbang. Kalau dulu Allayarham Atuk Haji Umar mengambil masa berbulan-bulan untuk sampai ke Tanah Suci, kini ianya hanya mengambil masa kira-kira 11 jam sahaja dan ada yang terus mendarat di Madinah. Masa besar kuasa Allah yang menyediakan kenderaan-kenderaan bagi hamba-hamba nya menunaikan fardhu haji.
Ada juga tradisi lama yang masih diikuti sekarang ini, iaitu sembahyang berjemaah yang diadakan oleh kaum keluarga yang ditinggalkan ditanah air. Majlis ini selalunya diadakan pada hari Khamis, malam jumaat dan pada tiap-tiap malam semasa hari-hari tasrik. Pada setiap hari jumaat, selalunya keluarga jemaah haji akan bersedekah kueh mueh selalunya 'kerambai' yang dibuat dengan antara lain santan dan tepung.
Selain dari itu, saya pernah mendengar sebilangan ahli keluarga jemaah haji adanya bersedekah payung dan selipar yang ditinggalkan diluar pintu rumah orang-oramg yang dikategorikan sebagai 'orang susah'. Tujuan mereka ialah dengan cara itu maka para jemaah tidak akan terkena panas matahari atau jalan raya semasa berada di Tanah Suci. Saya tidaklah menyoalkan samada cara ini bersesuaian dengan ajaran agama, kerana tujuan saya ialah meristakan apa yang ada semasa saya masih kecil kira2 40 lebih tahun yang lalu. Pasal meninggalkan payung dan kasut ini tidaklah saya mendengar lagi ianya dilakukan pada masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan