Jumaat, 3 September 2010

Raya Dahulu Dan Sekarang


Kueh Samprit (atas) Kueh Moor (bawah)

Alhamdulillah, teringat semasa hampir-hampir raya semasa masih kecil dulu (kira-kira 40 tahun yang lampau). Sepertimana kanak-kanak sekarang saat ketibaan syawal adalah ditunggu dengan penoh tidak kesabaran. Didapur rumah sendiri dan di rumah-rumah jiran sibuk dengan kaum hawa membuat kueh biskut untuk dijadikan hidangan. Kueh moor dan berbagai biskut 'samprit' disediakan dalam oven elektrik. Wah memang sedap dan wangi. Kalau dulu yang paling sibuk buat biskut ialah sepupu saya Hajah Mariam Mohamad Noh iaitu anak kepada Sharifah Hajah Edah binti Sheikh Haji Umar Al-Bana'mah. Saya turut membantu tetapi hasilnya adalah 'bebakat' (parut) di perut bekas hangus terkena pintu oven.

Selain dari itu, kalau dulu ada rumah yang setiap tahun menukar kain tabir dan ini dibuat pada malam Raya. Ada juga yang memasang pada siang sebelum malam raya tetapi ini sikit berbahaya kerana jika ditakdirkan anak bulan syawal tidak kelihatan, ramai lah budak-budak kampong datang sambil memekik 'bangas-bangas' {ini kerana pada anggapan masa itu, takbir yang dipasang dua hari sebelum raya sudah kira tak baru lagi. Aduhai begitu lah masa tersebut tapi lazimnya si pemilik rumah tidak marah kerana turut sama bergembira). Sekarang zaman sudah berubah, segala macam biskut dan kueh mueh, serta kek mudah didapati di supermarkets (tak kira musim raya kah tidak) dan juga di jualan-jualan amal. Kalau dulu hanya dua tiga macam biskut saja yang ada, sekarang senarai nama biskut dan kek ada yang berpuluh-puluh macam. Hebat sekali nafsu masa ini. Bagi pemasangan tabir pula, mungkin tidak ada yang sanggup menukarnya setahun sekali sebab harga kain dan upah yang mahal. Lagipun sekarang orang kita sudah faham tentang ekonomi dan pembaziran. Atau mungkin jua, dulu jenis kain yang digunakan selalu jenis kain kasa yang murah dan di jahit sendiri, jadinya ongkos yang diperlukan tidaklah seberapa.

Tak hairan pula pada masa tersebut, bila sudah ditentukan esok raya, barulah sibuk untuk membayar zakat fitrah. Amil bagi pembayaran zakat adalah orang-orang tua yang mahir dalam ilmu-ilmu keagamaan. Di kampong saya, 'amil' pada masa tersebut adalah bapa saudara kepada ayah iaitu Allayarham Nenek Haji Ajak (Nama ini mungkin singkatan kepada Haji Abdul Radzak), bekas seorang guru agama. Kalau dulu zakat dibayar dengan membeli beras segantang dari 'amil' dan kemudiannya menzakatkan sepertimana masa ini. Kemudian beras tadi di beli lagi dengan kadar-kadar tertentu dan dizakatkan semua sehinggalah selesai. Bolih dikatakan saya tidak pernah tertinggal ikut ayah pergi membayar zakat. Zaman sekarang mudah sedikit bagi saya membayar zakat, kerana amil menunggu di Masjid kampong saya di Kampong Pintu Malim. Cuma perlu keluarkan wang secukupnya, lafazkan niat dan setelah itu, amil akan membaca doa kesyukuran.

Alhamdulillah, terima kasih atas kesempatan meristakan kisah zaman budak-budak dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan