Rabu, 12 Mei 2010

Keluarga Bahagia. Lirikan Pena Ustaz Sharizal Saffian (Labuan)

Keluarga Bahagia

Keluarga bahagia menjadi cita-cita semua
Bapa bertanggungjawab ibu pengasih mengurus rumahtangga
Anak-anak taat setia mendengar kata
Bekerjasama bertolong bantu bersama ibu bapanya
Tuhan sama-sama disembah syariat peraturan keluarga
Ada masalah sama-sama menyelesaikannya
Al Quran As Sunnah tempat rujukan mereka
Setelah dijumpa sama-sama mengikutnya
Selesailah masalah keluarga tanpa berpanjangan
Kerana sama-sama taat dengan Tuhannya
Ada masalah lagi diselesaikan pula
Al Quran dan As Sunnah jugalah tempat rujukan
Berkasih sayang rukun rumahtangga
Kerana Tuhan sama-sama ditakuti dan dicintai bersama
Takutkan dan cintakan Tuhan rahsia bahagia
Iman dan taqwa berkasih sayang kekuatan bersama
Tidak ada iman, taqwa, kasih sayang tidak akan ada
Wang dan harta punca porak-peranda
Carilah kekayaan bukan untuk dicintai
Tapi untuk khidmat sesama manusia
Biasanya pepecahan rumahtangga Tuhan tidak diambil kira
Masing-masing ikut akal dan nafsunya
Syariat Tuhan diabaikan keluarga
Aman damai punah hidup celaka


Keluarga Role-Model
Ya Allah
Engkau jadikanlah rumahtanggaku syurga sebelum Syurga
Anak-anak cahaya mata, isteri mengikut kata
Tuhan!
Jadikanlah rumahku masjid mengingati-Mu
Sumber ilham dan ilmu
Tempat hiburan dan ketenanganku dan keluargaku
Tetamu yang datang membawa rahmat
Perginya, penghapusan dosa
Wahai Tuhan
Jadikanlah rumahku kerehatanku, tempat aku mendapat kekuatan jiwa
Tempat aku mengecas bateri jiwaku
Apabila aku keluar rumah
Kereta perjuanganku bertambah laju
Ya Allah!
Engkau jadikanlah keluargaku tapak perjuanganku
Role model untuk ditiru
Berilah aku kekuatan memimpin diri dan keluargaku
Memimpin masyarakat diharapkan juga
Berilah aku kekuatan iman dan ilmu
Kesihatan dan buah fikiran
Kelapangan masa untuk berjuang
Boleh menilai diri baik buruknya
Ya Allah
Jadikanlah Engkau cinta agungku
Agar seluruh apa yang ada aku korbankan untuk-Mu
Bahkan jiwa ragaku
Dan berikanlah aku kawan-kawan yang setia
Yang boleh berjuang bersamaku susah dan senang
Akhir sekali ya Allah
Ampunkanlah seluruh dosa-dosaku
Dan dosa-dosa keluargaku serta pengikut-pengikutku
Amin ya Rabbal Alamin
Istajib do’ai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan