Sabtu, 15 Mei 2010

Lagi Mengenai Tua Gayah (Allahyarham Hjh Gayah Al-Bana'mah

Tua Gayah mempunyai tubuh yang agak kurus dan berkulit kurang cerah. Apa yang menarik ialah Tua Gayah mempunyai rambut yang ikal mayang dan lebat. Tua Gayah berkahwin dengan Liau Husin (Pak Husin) dan di akhir hayat beliau bermastuatin dengan anak lelaki yang sulong Haji Alias di Lubuk Tamiang.

Tua Gayah merupakan seorang yang rajin menangkat ikan baik secara pukat (pukat labuh/pukat ambit (dimana pukat dilabuh dan kemudiannya di tarik ketepian) dan juga mengunakan joran. Bagi diri saya sendiri, highlights jika melawat Tua Gayah ialah mengikuti beliau menangkap ikan di pantai berdekatan dengan Banting, Labuan yang tidak jauh dari rumah beliau. Berbagai ikan kecil diperolehi termasuk ikan bilis, ikan kikik, Usus, kembura, belanak dan lain-lain lagi. Kadangkala beliau akan mencari kima (sejenis lukan yang bewarna hitam).

Tua Gayah gemar merokok, dan memandangkan saya merupakan salah satu anak buahnya yang paling benci dengan rokok, selalu beliau akan tersenyum bila saya menasihati beliau untuk berhenti dari kegemaran beliau tersebut. Beliau akan menyatakan bahawa beliau sudah berhenti merokok. Pernah satu hari saya pergi melawat beliau di Labuan. Sesampai saya saya diberiktahu bahawa beliau di pantai memancing. Memandangkan saya memandu sebuah kerita pinjam saya pun menuju ketempat dimana saya tahu beliau suka berehat. Apabila mendekati beliau, jelas beliau sedang merokok (bersigup dalam bahasa Brunei) dan memandangkan beliau masih belum cam siapa yang memandu, saya telah dapat memandu sehingga hanya beberapa meter saja dari kedudukan beliau. Yang lucu nya, apabila beliau mula perasaan bahawa pemandu kerita adalah saya sendiri, dengan tiba2 rokok beliau hilang sama sekali. Selepas bersalam, saya cuba mencari 'hard evidence' namun tak juga jumpa. Tua Gayah terus tersenyum melihat gelagat saya. Namun begitu Tua Gayah tidaklah pernah berusik hati dengan kerenah saya.

Saya masih ingat pada zaman kecil saya, mandi di perigi bersama Tua Gayah di Labuan. Beliau akan merokok sigupan (dibuat dari daun dan tobacco). Tua Gayah akan mencecahkan bara sigupan kepada lintah yang menghisap dimana-mana tempat yang disukainya kaki, peha, badan dan lain-lain lagi. Ini akan mengugurkan lintah tersebut sambil itu saya akan terlolong-lolong minta tolong akhibat takut dan geli.

Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini oleh abang saya Haji Abdul Jalil, sememangnya apa jua suka duka kami di Brunei tidak akan lengkap tanpa adanya Tua Gayah. Sememang beliau sangat mengambil berat perihat adik-adik beliau yang semua menetap di Brunei.

Tua Gayah juga menjadi Pengangun (Mak Andam) bagi upacara perkahwinan. Tua Gayah meninggal setelah mengidap sakit di bahagian perut Saya masih ingat beberapa hari sebelum beliau meninggal saya sempat menziarahi beliau sambil membawa biah anggur kesukaan beliau, saya sempat menyuapkan kepada beliau beberapa biji sebelum beliau tidak mahu lagi menerimanya. Saya sempat mencuri pandang melihat air mata beliau menitis tetapi sayangnya agak sukar untuk beliau berkata-kata kerana sudah terlalu lemah melainkan kalimah 'Allah' yang keluar dari mulut beliau. Alhamdulilah selepas itu saya dapat menemui beliau beberapa kali sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Tua Gayah disemadikan di Tanah Perkuburan di Lubuk Tamiang tidak jauh dari Pusara suaminya Liau Hussin. Al Fateha, semoga Tua Gayah diberikan rahmat yang sebaiknya dari Allah, ditentaramkan rohnya sehingga ke hari Qiamat. Amin

1 ulasan:

  1. Dari Chat Box:
    Hj rahman: Aku ter kenang Tua labuan minta belikan sigup arah aku,aku inda mahu beli kan alassan aku inda mahu belikan rachun ia senyum saja , kau ani man cakap nya .AL-FATEHA

    BalasPadam