Rabu, 19 Mei 2010

RIWAYAT HIDUP SHEIKH HAJI UMAR BIN SHEIKH HAJI ABDULLAH AL-BANA'MAH

Sumbangan dari Haji Abdul Jalil Haji Abdul Latif, Brunei)

Sheikh Haji Umar berketurunan Arab Yemen tetapi setahu saya beliau tidak pernah membahasakan dirinya sebagai seorang Sheikh. Namun beliau ada menyatakan bahawa keturunan Al-Bana’mah berasal dari Hadranmaut. Beliau seorang yang warak dan mempunyai budi bahasa yang santun. Selain dari itu, beliau juga terkenal sebagai guru al-quran bagi anak-anak jiran yang tinggal di berdekatan dengan rumah beliau yang mulanya dulu kawasan Los Tanjung dan kemudiannya setelah itu di rumah anak kemanakan beliau (Mak Embam) di Quarter BSP di Jalan Nakhoda Ragam di Pekan Belait. Kelaziman beliau adalah menyediakan hidangan bubur kacang hijau untuk meraikan anak2 murid nya yang telah khatam al-quran dan sambil berdoa kesyukuran meminta anak-anak kecil mengaminkannya. Pernah beliau berkata, ucapan amin anak-anak kecil itu muzarab kerana mereka masih bersih tanpa sebarang dosa.


Di Kuala Belait, saya sering tidor di bilik datuk. Pada satu hari, pada tengah malam, saya pernah terjaga dan saya dengar datuk bermunajat meminta ampun kepada Allah sambil menangis. Kemudiannya baru saya mengetahui yang datuk setiap malam bangun sembahyang tahajjud. Beliau sering kali ke rumah kami di Sungai Lampai. Pada waktu Subuh beliau membanguni saya. Jalil bangun sembahyang. Apa lagi dalam hati mengapa dato membanguni orang sedang tidor nyenyak. Katanya sudahlah syaitan menyelimuti dengan kulit bayi (Bayi adalah perkataan orang Brunei bagi babi atau khinzir). Kadang-kadang saya terus bangun dan kadang-kadang tidor balik dilamun mimpi indah. Saya kemudiannya telah bertanya ustaz betulkah semasa kitani tidor,syaitan menyelimuti dengan kulit bayi. Betultlah tu kata Ustaz mengia-iakannya..


Saya masih ingat semasa hayatnya dia menyuruh Bongsu Saifun (Sharifah Hajah Saifun binti Sheikh Haji Umar Al-Bana’mah) untuk membeli ayam dan kegemarannya ialah masak kari. Bongsu berkata ‘Abah sayang saja ayam kan dibeli belum tentu Jalil datang”. Tapi beliau yakin yang saya dan ibu saya akan datang. Setelah kami tiba di Kuala Beliat, Bongsu Saifun mengatakan benar juga cakap datok mu tadi yang kamu akan datang. Bukan setakat itu sahaja, Allahyarhamah Sharifah Hjh Gayah (Tua gayah) melawat beliau semasa ia sakit. Semasa itu, saya pun ada. Jadi Tua menyuruh saya masuk berjumpa beliau. Dengan spontan beliau berkata Tua mu juga datang kan.Saya dan Tua Gayah amat terkejut macamana beliau mengetahui kehadiran Tua gayah pada masa tersebut.

Semasa tahun-tahun terakhir hidupnya, beliau tinggal dengan Bongsu Saifun di Kuala Belait, pada mula di Flat Biru, berdekatan dengan Sekolah Menengah Perdana Wazir dan kemudiannya di rumah guru berdekatan dengan Masjid Pekan Belait dan Sekolah Rendah Ahmad Tajuddin. Bongsu menyarankan beliau kalau dapat membeli sebidang tanah bagi membuat rumah sedangkan masa itu bongsu tinggal di rumah Kerajaan. Beliau mengatakan tidak perlu kerana di Batu 3 banyak lagi tanah kosong. Sebenarnya di Batu Tiga terdapat Tanah Perkuburan Orang Islam. Semasa kami melawat kubur isterinya (Aishah binti Salim, iaitu ibu kepada emak saya), beliau ada berpesan kepada yang hadir yang tapak disebelah kubur nenek kamu ini beliau telah booking. Ada sebatang batu nisan disana tetapi beliau membisikan bahawa batu nisan tersebut diletakkan disana oleh beliau sendiri. Selain dari itu, beliau juga pernah berpesan kepada adik saya, Haji Anas bahawa jika beliau sudah meninggal beliau mahu cucu-cucu beliau menolong galikan kubur dan seterusnya mengkebumikan beliau. Ditakdirkan setelah beliau meninggal, Haji Anas pergilah ke kubur lalu menyampaikan pesan tersebut kepada si penggali kubur. Malangnya, si penggali kubur mengetawakannya dan menyatakan kamu balik saja dan insya Allah nanti ketika jenazah sampai liang lahat akan sudah tersedia. Dipendekkan cerita, ketika jenazah sampai, liang lahat belum sedia. Haji Anas terus bertanya apa yang telah terjadi, si pengali berkata, beliau terpaksa melakukan pengalian secara perlahan kerana terdapat hujung papan keranda lama ditapak tersebut. Alhamdulillah, setelah itu sampailah terlaksana wasiat datuk, walaupun kerjanya tinggal sedikit saja sempatlah juga kami saudara dan berpupu, membantu mengali dan seterusnya menyempurnakan pengebumian.

Semasa akhir hayatnya, beliau telah ditahan di Hospital dan pada malam Sabtu tersebut, kalau saya tidak silap, beliau telah mencabut drip dan mengatakan bahawa beliau mahu balik ke rumah kerana ajal sudah menghampiri. Semasa sudah nazak, ada emak saya bercerita yang pada sekitar waktu Subuh yang hening, datuk sempat bercakap dengan menyatakan. “Itu dia, yang satu sudah tiba mana lagi yang satu ni lambat jua kan datang”. Subhanallah selepas itu beliau pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Saya telah membaca buku 'Jambatan Ke Syurga' dan telah dapati satu maklumat yang mengatakan seseorang yang akan menemui ajalnya, 2 malaikat yang ditugaskan mencabut nyawanya.

Pernah sepupu saya bercerita bahawa semasa datuk menunaikan fardu haji di Kota Mekah, datang seorang pemuda yang elok wajahnya dan terus memberikan salam sambil berkata "Aulia". Bila sepupu saya bertanya kepada datuk, apa itu 'Aulia", datuk menyatakan "Aulia" itu bererti orang yang sentiasa beramal kepada Allah tetapi hanya seorang "Aulia" yang lebih tinggi darjatnya yang akan dapat mengenal "Aulia' yang lain. Sungguh indah bahasa datuk itu, kerana mengakui bahawa pemuda tadi yang sememangnya lebih muda adalah lebih kuat dan tinggi darjah imannya dari datuk sendiri. MaysaAllah, datuk mengajar kita bahawa seorang orang beriman tidak akan pernah merasa diri lebih mulia dari orang lain.

Saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada Allahyarham Dato kerana sentiasa memberi nasihat dan tunjuk ajar supaya dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat. Akhir sekali,semoga Allah mencucuri rahmatnya kepada Allahyarham dan menempatkan beliau bersama orang-orang yang beriman.


P.S. Ketika kami adik beradik masih kecil, datuk suka bercerita mengenai Si-Kodok dengan Monyet. Ianya mengisahkan cerita monyet yang tamak dan si kodok yang banyak bersabar. Itu lah saja cerita beliau setiap kali kami meminta beliau untuk bercerita. Kini giliran kami bercerita kepada anak-anak kami cerita yang sama. Mudah2an mereka nanti akan menceritakan kepada anak-anak mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan